.::biCaRa ibNu hAsaN::.

Monday, October 16, 2006

APA SELEPAS RAMADHAN

Ditulis pada 15/10/06 utk Buletin Alumni Maahad

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia daripada Allah S.W.T. kita dapat sama-sama menunaikan kewajipan kita berpuasa Ramadhan, menyempurnakan zakat fitrah, serta dapat membangunkan ibadat-ibadat sunat sepanjang bulan Ramadhan yang baru berlalu. Tapi adakah amalan kebaikan dan pengajaran yang kita perolehi daripadanya, terhenti setakat Ramadhan semata? Cukup indah kata-kata peringatan yang dituturkan oleh Prof. Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Pengerusi Konferens Ulama Sedunia:
"كن ربانيا ولا تكن رمضانيا"
(Jadilah orang yang Rabbani setiap masa, dan jangan kamu jadi orang yang mengabdikan diri pada Ramadhan).

Ramadhan, dengan ibadah-ibadahnya yang wajib dan sunat seperti puasa, zakat, sedekah, tarawih, tadarrus, iktikaf, qiamullail dan lain-lain dapat memberi banyak pengajaran kepada kita, seandainya kita melakukannya dengan penghayatan. Alangkah indahnya andai kita dapat jadikan Ramadhan medan tarbiyah jiwa, agar jiwa kita terpandu dalam menghadapi bulan-bulan yang seterusnya.

Ramadhan mengajar kita agar selalu berwaspada dengan hawa nafsu, di mana puasa merupakan usaha yang dapat mendidik rohani dalam mengalahkan hawa nafsu yang menginginkan kesenangan yang diharamkan oleh puasa. Zakat dan sedekah mendidik jiwa mengalahkan nafsu dengan mengutamakan perbelanjaan wang kita kepada perkara yang lebih awla atau utama, dan dalam solat tarawih dan solat-solat malam yang lain kita berusaha menggerakkan fizikal kita dalam melawan nafsu malas. Maka seusai Ramadhan, betapa ruginya kita andai kita kembali tewas kepada hawa nafsu kita, perkara-perkara haram kita kembali lakukan, harta kita langsung tiada yang kita sisakan untuk saudara-saudara seagama yang memerlukan, dan kita terus meninggalkan ibadah-ibadah sunat seperti solat malam dan tilawah al-Quran. Ruginya andai hawa nafsu kembali menang, selepas kecundang selama sebulan.

Ramadhan juga menumbuhkan sifat kebersamaan, saling berempati dan saling bersimpati antara satu sama lain. Ketika berpuasa, semua umat Islam di dunia, tanpa mengira bahasa dan bangsa, tak kira darjat dan keturunan, miskin atau kaya, akan meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dalam menahan kelaparan dan kehausan, puasa akan mendidik insan agar dapat merasai penderitaan jiwa insan-insan lain, memiliki rasa belas kepada yang kurang bernasib baik serta mentarbiyah nafsu agar tidak individualistik. Zakat pula sepatutnya melahirkan insan-insan yang mengambil berat soal saudara-saudara seagama mereka, dapat merasai kegembiraan dalam membantu saudara-saudara seagama yang memerlukan serta dapat melahirkan jiwa yang bersyukur. Maka amat malang seandainya selepas berakhirnya Ramadhan, kita terlupa terus akan nasib umat Islam, akan nasib jiran-jiran kita, masyarakat sekeliling dan umat Islam sedunia, sedangkan Baginda Rasulullah S.A.W. ada bersabda:
"من اصبح لم يحتم بامر المسلمين فليس منهم"
(Sesiapa yang tidak berpagi-pagi mengambil berat tentang urusan umat Islam maka dia tiadalah termasuk dalam kalangan mereka).

Tidak semua insan bernasib baik seperti kita. Mungkin ada mereka yang di sekeliling kita yang terpaksa menagih-nagih, atau beraya dalam kesedihan di kala kita bergembira dalam serba kecukupan. Janganlah hendaknya kita termasuk golongan orang yang disebut dalam hadith Qudsi sebagai tidak beriman, kerana tidak mempedulikan jiran yang tidak dapat tidur dek kerana kelaparan, sedangkan kita tidur semalaman dalam kekenyangan.

Di kala kita berenak-enak di rumah, ingatlah juga kepada saudara-saudara kita yang sedang mengusung senjata bagi menegakkan Islam di seluruh dunia, yang malamnya dihabiskan di gua-gua dan tempat-tempat persembunyian, saudara-saudara kita yang hidup diselubungi ketakutan akibat peperangan, serta mereka yang ditimpa musibah dan malapetaka. Maka sumbangkanlah apa yang termampu daripada diri kita, sekurang-kurangnya berbentuk ingatan doa dan munajat untuk mereka, kerana doa itu perisai bagi orang mukmin, serta sumbangan harta untuk membantu kehidupan dan perjuangan mereka. Malah Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkata bahawa memberi sumbangan kepada mereka ini lebih utama berbanding memberi sumbangan untuk mendirikan masjid di tempat yang dah mempunyai banyak masjid, atau memberi sumbangan dalam kerja-kerja memperbesar dan memperindahkan masjid dalam keadaan ianya tidak sangat dibutuhkan.

Ramadhan juga akan dapat menjadikan hamba Allah itu insan yang bertaqwa dan bersyukur seperti yang tersebut di dalam ayat ke-183 dan 185 surah al Baqarah. Insan yang bertaqwa dan bersyukur akan mengamalkan Islam sepenuhnya dalam diri, dan memelihara diri dari perilaku tercela. Namun perlu juga diingati kata-kata seorang pendakwah yang merupakan bekas penganut Kristian Ortodoks, Meryam Jameelah:
“Tidak mungkin seseorang itu dapat mengamalkan Islam sepenuhnya jika tidak berada dalam bi’ah Islamiah yang solehah”.
Maka tidak boleh tidak, mereka yang bertaqwa dan bersyukur ini perlulah terlebih dahulu berusaha sedaya upaya dalam menghasilkan bi’ah Islamiah yang solehah tersebut. Apatah lagi dalam negara kita yang berleluasanya pelbagai kemungkaran dan kefasidan, seperti gejala kemurtadan, pemesongan pemahaman agama, liberalisasi dan pluralisme agama, budaya hedonisme melampau dan sebagainya. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama berganding bahu dalam berjihad melakukan perubahan mengikut kemampuan yang ada, serta berdakwah mengikut kesesuaian, samada menggunakan kuasa, lisan atau dakwah bilhal.

Terlalu banyak perkara dalam madrasah Ramadhan yang yang boleh menjadikan kita insan yang lebih baik tapi cukup menyedihkan jika penghayatan dan pengamalan kita hanya terhad untuk Ramadhan sahaja. Andai kita mengabdikan diri untuk Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan telah berlalu pergi, andainya kita mengabdikan diri kepada Allah, maka Allah akan sentiasa bersama kita. Allah itulah Tuhan kita di bulan Ramadhan, Allah itu jugalah Tuhan kita di bulan-bulan yang lain.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home